Toyol merupakan panggilan yang wujud dalam masyarakat Melayu sahaja dan tidak wujud dalam pemahaman bangsa-bangsa lain. Nama ini tidak wujud dalam al-Quran atau hadis-hadis, sama seperti perkataan hantu raya, polong, pelesit dan sebagainya.
Menurut pemahaman umum orang Melayu, perkataan “toyol” itu selalunya dirujuk kepada makhluk seperti kanak-kanak kecil daripada golongan jin, yang dibela oleh manusia, untuk mencuri benda-benda tertentu terutama duit. Makhluk ini akan mencuri sebahagian daripada wang milik seseorang.
Penglibatan manusia dengan jin-jin boleh berlaku melalui menuntut ataupun dengan kaedah warisan (saka). Memang ada kaedah tuntutan khusus membolehkan seseorang itu berdampingan dengan makhluk-makhluk ini, iaitu melalui guru. Sesetengah orang mempelajari ilmu kebatinan, dengan bertapa dan sebagainya tetapi akhirnya didampingi oleh makhluk-makhluk halus yang terdiri daripada jin-jin. Hal demikian mungkin berlaku di luar pengetahuan orang berkenaan.
Orang yang mendampingkan diri dengan makhluk-makhluk halus semata-mata melalui warisan ataupun didampingi dengan cara menuntut dan menurunkan ilmu yang dimiliki itu kepada waris berikutnya, maka ilmu itu juga termasuk dalam kategori saka.
